Di petik daripada buku: Nur Ikhwan Mohamad. Celik Fizikal. (2024). Penerbit UPSI. Perak.
Sebagai seorang pendidik dan sebagai seseorang yang telah “mengidamkan” kerjaya sebagai seorang pendidik, serta telah melalui proses pendidikan rendah, menengah dan tinggi di Malaysia hingga akhirnya menjadi seorang pendidik, Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang tidak saya ingat bila ianya diperkenalkan pada saya sewaktu dalam proses kehidupan saya, adalah sebenarnya begitu mempengaruhi pemahaman dan pegangan saya terhadap kaitan antara kesiapsiagaan fizikal dengan status emosi, rohani dan intelek.
Untuk rujukan terkini, saya paparkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan seperti yang saya ambil daripada buku Dasar Pendidikan Kebangsaan cetakan 2017 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia:
“Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara”
(Falsafah Pendidikan Kebangsaan)
Perhatikan di situ bagaimana falsafah pendidikan kita sudah pun menggariskan apa yang diperlukan oleh seseorang individu untuk berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Dan apabila seseorang individu itu sudah mampu mencapai kesejahteraan diri (individu), maka barulah mereka mampu memberikan sumbangan yang diperlukan oleh masyarakat dan Negara. Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga sudah menunjukkan secara jelas bahawa untuk mencapai matlamat kesejahteraan itu, empat elemen wajib yang terkait antara satu sama lain adalah intelek, rohani, emosi dan fizikal.
Susunan kedudukan empat elemen itu sudah pun menunjukkan hierarki yang sepatutnya. Gapailah ilmu dahulu, agar inteleknya ada. Dari ilmu tegapkanlah rohani. Dari rohani maka lahirlah emosi yang matang dan terkawal. Di akhirnya suaikanlah dan jagalah fizikal agar kesemua ilmu, rohani dan emosi tadi dapat dikekalkan dan dimanfaatkan untuk kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan Negara.
Saya selalu sebutkan “A strong citizens depicts a strong nation”, atau terjemahannya rakyat yang kuat menggambarkan negara yang gagah. Maka sebab itulah bidang suaian fizikal ini sebenarnya amat penting kepada pembinaan sesebuah negara-bangsa. Kerana kekuatan fizikal itu tidak hanya perlu terhad kepada elitis sukan atau ketenteraan negara-bangsa tersebut semata-mata, namun turut perlu merangkumi keseluruhan rakyat jelatanya dari kanak-kanak hingga ke usia dewasa.